SHAHRIN AMIR, nama yang tidak asing dalam arena sukan basikal MTB. Berasal dari Sabah dan menjadi idola bagi pelumba baru untuk berjaya dalam sukan basikal. Ikuti perkongsian SHAHRIN AMIR tentang bagaimana beliau menyertai pertandingan berbasikal di Malaysia dan luar negara.
Penglibatan Awal
“Sewaktu di bangku sekolah, saya merupakan atlet trek,” Shahrin menceritakan penglibatan awal beliau dalam arena sukan. Salah seorang pelumba MTB terkenal di negara, pada mulanya bercita-cita untuk menjadi seorang pelari profesional. “Minat tu pada zaman persekolah saya di Sabah. ”Sewaktu sekolah dan selepas meninggalkan sekolah, saya kerap menyertai acara larian di sekitar Sabah dan Sarawak. Secara tak langsung, saya menambah lebih kenalan dalam bidang sukan.”
Salah seorang kenalan Shahrin, Encik Loh nampak akan potensi sebenar Shahrin dalam arena sukan. “Waktu itu dia dalam lingkungan 50-an. Seorang usahawan yang berjaya. Dia ada banyak basikal dan mencadangkan saya sertai pertandingan basikal. Dia bersungguh memujuk saya dan meminjamkan saya basikal untuk bertanding. Sehingga kini saya berterima kasih kepada dia.” Shahrin menceritakan pendedahan awal dalam dunia basikal.
Pada tahun 2002, Shahrin menyertai perlumbaan basikal dengan basikal pertamanya, “Basikal pertama saya waktu itu basikal besi, basikal murah cuma beberapa ratus ringgit. Itu yang termampu waktu itu. Tapi dengan basikal itu saya berjaya kalahkan beberapa Pro-rider yang menggunakan basikal yang lebih bagus,” Shahrin menceritakan kenangan beliau mencipta nama di Borneo.
Pada tahun 2005 pula, Shahrin terlibat lebih aktif di Semenanjung Malaysia. “Waktu itu pertandingan cross-country di Sandakan. Saya penduduk di situ dan ahli politik di situ beritahu yang saya akan diberikan imbuhan RM1,000 jika menang. Bukan sahaja saya menang dan dapat imbuhan malah saya berjaya kalahkan atlet nasional.”
“Pelumba lain kagum dengan prestasi saya dan tawarkan saya untuk sertai pasukan dia di Kuala Lumpur. Sejak itu saya memulakan karier saya di Semenanjung Malaysia,” jelas Shahrin yang prestasi beliau semakin meningkat sehingga sekarang.
Menjadi sebahagian dari pasukan, Shahrin juga bekerja di kedai basikal di Melawati. Kemudian bekerja di kedai basikal di Petaling Jaya sebelum berpindah ke kedai yang lain di Shah Alam. Shahrin bekerja di situ selama 3 tahun. Peningkatan beliau dalam sukan basikal telah menjadikan beliau atlet tajaan GIANT selama 3 tahun, di mana beliau merupakan atlet basikal professional sepenuh masa.
Dalam tempoh tersebut, Shahrin turut mewakili Malaysia di 4 Sukan SEA, 2 Asian Cycling Championship (ACC), dan beberapa kejohanan tempatan dan luar negara seperti di Thailand, Singapore, Indonesia, Brunei Darussalam, Timur Timor, China, Myanmar, Laos, Iran dan Lebanon. Shahrin mengatakan kejohanan ACC pada 2010 di China merupakan pencapaian terbaik dengan tersenarai dalam 15 pelumba terbaik keseluruhan.
Melihat ke hadapan
Shahrin memperoleh pelbagai kejayaan dan berjaya mengubah kehidupannya pada usia seawal 30-an. Tapi apakah perancangan Shahrin pada masa depan? “Saya mengimpikan suatu hari nanti untuk melatih atau menguruskan pasukan. Sekarang saya mengambil kursus jurulatih dibawah PKBM.”
“Saya tak minat untuk membuka kedai basikal atau apa apa berkaitan jualan basikal sejak saya banyak bergerak keluar. Saya suka pelajari perkara baru berkaitan teknologi dan inovasi. Baru baru ini saya berpeluang ke Taiwan untuk kursus suspension basikal. Sangat menarik. Dan perkara macam itu mungkin saya dapat buat sesuatu di masa hadapan.”
Shahrin begitu positif dalam apa sahaja yang dilakukan. Saya mendoakan kejayaan buat Shahrin Amir dan berharap terus melakukan sesuatu yang hebat di masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan